TOKYO – Pihak berkuasa Jepun menyita sebuah kapal nelayan China dan menahan nakhodanya, kata pihak berkuasa hari ini, dalam langkah yang akan meningkatkan lagi ketegangan dengan Beijing.
“Nakhoda kapal nelayan itu diarah untuk berhenti bagi pemeriksaan oleh pihak berkuasa tetapi kapal tersebut gagal mematuhi arahan dan melarikan diri.
“Sehubungan itu, nakhoda kapal ditahan pada hari yang sama,” kata agensi perikanan Jepun.
Insiden berlaku semalam dalam zon ekonomi eksklusif Jepun di perairan wilayah Nagasaki, 165 kilometer ke barat daya Pulau Meshima, tambah kenyataan itu.
Ini adalah kali pertama sejak 2022 agensi itu merampas kapal nelayan China.
Nakhoda tersebut ialah seorang warga China berusia 47 tahun. Terdapat 11 orang di atas kapal termasuk nakhoda.
Agensi itu menjalankan pemeriksaan di atas kapal dan operasi lain di perairan sekitar Jepun.
Agensi sama merampas dua kapal nelayan asing tahun lalu, satu dari Taiwan dan satu lagi dari Korea Selatan, lapor Kyodo News.
Pada 2024, agensi itu melakukan tujuh pemeriksaan atas kapal, merampas sebuah kapal nelayan Taiwan dan mencatat 18 kes di mana peralatan menangkap ikan turut dirampas, tambah Kyodo. – AFP














