SAKHIR – Jaguh dunia tujuh kali, Lewis Hamilton membuat ‘pusingan U’ apabila mengkritik jentera Formula Satu (F1) 2026 yang didakwanya sangat perlahan dan terlalu rumit untuk difahami.
Kritikan pedas itu hadir selepas Hamilton melengkapkan sesi ujian rasmi pramusim di Litar Sakhir, Bahrain bersama Ferrari kelmarin.
Pelumba Britain berusia 41 tahun itu menyamakan kelajuan jentera 2026 seperti jentera GP2 selain mengakui pening kepala dengan sistem teknikal peraturan 2026.
“Jentera ini memang lebih pendek dan ringan, malah agak menyeronokkan untuk dipandu seperti jentera rali. Tapi saya rasa jentera 2026 ini lebih perlahan daripada GP2, itulah yang saya rasakan,” katanya.
Hamilton sebelum ini memuji jentera tersebut ketika sesi ujian tertutup di Barcelona, namun keadaan litar di Bahrain yang panas dan berangin kencang telah mengubah persepsinya.
Selain isu kelajuan, Hamilton turut meluahkan kebimbangan bahawa peminat F1 akan keliru dengan peraturan baharu melibatkan aerodinamik dan pengurusan tenaga.
“Peminat tidak akan faham kerana terlalu kompleks. Saya duduk dalam mesyuarat tempoh hari dan apabila mereka menerangkannya, ia seolah-olah anda memerlukan segulung ijazah untuk memahami segalanya,” tambahnya.
Walaupun kecewa dengan prestasi awal di Bahrain, Hamilton menegaskan jentera Ferrari miliknya masih belum diuji pada tahap maksimum. – AGENSI














