PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) meramalkan cuaca signifikan bagi tempoh dua hari iaitu pada Isnin dan Selasa depan terutamanya melibatkan beberapa negeri di pantai barat dan selatan Semenanjung.
Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip, berkata, keadaan itu berpotensi menyebabkan peningkatan kelembapan yang membawa hujan lebat berserta ribut petir dalam tempoh lebih panjang.
“Ia berdasarkan analisis terhadap model-model ramalan cuaca terkini yang menunjukkan terdapat penumpuan angin baratan dan timuran di Semenanjung bermula pada 16 hingga 17 Februari depan.
“Orang awam adalah dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MetMalaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Sementara itu MetMalaysia melaporkan, Sabah dan Sarawak dijangka menerima hujan lebat, ribut petir dan angin kencang di beberapa kawasan sehing pukul 4 petang ini.
“Di Sarawak melibatkan Kuching (Lundu), Sri Aman (Srl Aman), Sibu (Selangau), Mukah (Mukah), Kapit (Song dan Kapit), Bintulu, Miri (Subis) dan Limbang.
“Sementara di Sabah, adalah di Pedalaman (Kuala Penyu dan Beaufort), Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud), Tawau (Tawau dan Semporna), Sandakan (Telupid dan Sandakan) dan Kudat,” ujar kenyataan itu. – KOSMO! ONLINE














