PETALING JAYA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memecat keahlian empat ahlinya berkuat kuasa serta-merta selepas didapati melanggar perlembagaan parti.
Berdasarkan beberapa notis rasmi Lembaga Disiplin Bersatu bertarikh 13 Februari 2026, individu terlibat ialah Mohd Hassundi Hamzah (Bahagian Larut, Perak), Yunus Haji Nurdin (Bahagian Libaran, Sabah), Fathul Huzir Ayob (Bahagian Gerik) dan Azahari Hasan (Bahagian Padang Rengas).
Lembaga Disiplin Bersatu memaklumkan, keputusan itu dibuat selepas pihaknya bersidang pada 12 Februari lalu dan mendapati keempat-empat individu terbabit telah melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu.
“Susulan itu, Lembaga Disiplin memutuskan supaya keahlian mereka dipecat di bawah Fasal 22.5, berkuat kuasa mulai tarikh notis dikeluarkan,” menurut kandungan notis berkenaan.
Notis tersebut turut menegaskan bahawa pemecatan berkenaan melibatkan penarikan semua hak keahlian parti dan berkuat kuasa serta-merta.
Bagaimanapun, keempat-empat bekas ahli berkenaan masih diberi peluang untuk mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan Bersaty dalam tempoh 14 hari daripada tarikh notis dikeluarkan.
Semua notis pemecatan itu ditandatangani oleh Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd Radzi Manan.
Bersatu sebelum ini menegaskan bahawa parti tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran disiplin dan akan terus mengambil tindakan tegas demi menjaga integriti serta kestabilan organisasi.
Terdahulu, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dipecat keahliannya berkuat kuasa hari ini.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, keputusan itu diputuskan Lembaga Disiplin seiring Fasal 22.5 perlembagaan parti.-KOSMO! ONLINE.














