KOTA KINABALU – Seorang lelaki warga emas dipercayai suspek dalam kes pembunuhan kejam seorang wanita yang mayatnya dikerat kepada tujuh bahagian serta dibuang di beberapa lokasi di Indah Permai, di sini berjaya ditahan semalam.
Suspek berusia lingkungan 70-an itu diberkas di sekitar Kota Kinabalu kira-kira pukul 5 petang dalam operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu bersama Ronda Cegah Jenayah Balai Polis Luyang, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan Bantuan Teknikal D8 JSJ IPK dan Bukit Aman itu.
Suspek berjaya dikesan sekali gus ditahan dalam tempoh kurang dari 24 jam sejurus penemuan beberapa bahagian anggota badan mangsa berusia lingkungan 40-an terbabit.
Difahamkan suspek dikenal pasti hasil petunjuk daripada mayat mangsa selepas penemuan kepala dan badan serta susulan penemuan awal tangan dan kaki di sebuah tong sampah.
Menerusi maklumat motif pembunuhan dipercayai cemburu sebelum berlanjutan kepada pergaduhan antara suspek dan mangsa yang kemudiannya berlaku kejadian kejam terbabit.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab. Rahman ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap seorang suspek lelaki tempatan warga emas yang berusia 70-an.
”Motif kejadian setakat ini dipercayai cemburu. Kes telah berjaya diselesaikan menerusi penangkapan suspek utama ini.
”Bagaimanapun siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
Difahamkan, suspek kini ditempatkan di hospital bagi menjalani pemeriksaan lanjut sebelum proses reman dijalankan. – KOSMO! ONLINE














