fbpx
KANE (kiri) menyempurnakan sepakan penalti untuk membuka tirai jaringan menentang Leipzig awal pagi semalam. - BAYERN MUNICH

Bayern tamat penantian enam tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MUNICH – Sentuhan tajam Harry Kane sekali lagi menjadi pemisah apabila Bayern Munich menewaskan RB Leipzig 2-0 untuk melangkah ke separuh akhir Piala Jerman buat kali pertama sejak 2020.

Bayern yang sebelum ini bergelut melepasi suku akhir akhirnya menamatkan penantian tersebut hasil dua gol dalam tempoh tiga minit pada babak kedua yang mematahkan tentangan sengit Leipzig.

Kane membuka jaringan menerusi sepakan penalti pada minit ke-64 untuk penyerang England itu kini mengumpul 39 gol dalam semua kejohanan musim ini sebelum Luis Diaz menggandakan kelebihan tiga minit kemudian

Pengendali Bayern, Vincent Kompany memuji pengaruh besar Kane sambil menyifatkan ketajamannya sebagai kombinasi bakat dan kerja keras.

“Saya tidak tahu sama ada dia dilahirkan begitu, tetapi dia memiliki bakat dan bekerja keras untuk menajamkannya. Kami semua menikmati detik seperti ini bersama Harry,” kata Kompany.

Dalam masa sama, kapten Leipzig, David Raum pula mengakui pasukannya mempunyai peluang untuk memberi tentangan lebih hebat, namun kesilapan sendiri memusnahkan harapan mereka.

“Jika mahu menang di sini, anda perlukan sedikit tuah dan mungkin beberapa keputusan memihak kepada anda, tetapi ia tidak memihak kepada kami hari ini. Kami bolos dua gol mudah. Saya rasa sebenarnya kami mampu lakukan lebih baik,” katanya.

Kemenangan itu menyaksikan Bayern menyertai Stuttgart, Bayer Leverkusen dan Freiburg dalam kelompok empat terbaik, sekali gus menghidupkan semula peluang memburu trofi Piala Jerman ke-21 dalam sejarah kelab. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN