PETALING JAYA – Tiada angin tiada ribut, penyanyi Hafiz Suip memaklumkan bakal mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihannya pada hari ini.
Hafiz atau nama lengkapnya Mohamad Hafiz Mohamad Suip, 36, menyifatkan fasa baharu yang bakal ditempuhinya sebagai satu rezeki yang tidak disangka-sangka.
“Petang ini kira-kira selepas solat Jumaat, insya-Allah saya akan membina masjid baharu.
“Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Ilahi. Itu satu rezeki bagi saya.
“Nak kata cemas, ya tapi kita perlu ‘move on’, kuatkan hati untuk masa hadapan dan orang yang tersayang,” katanya dalam sebuah temu bual radio.
Bagaimanapun, pelantun lagu Ku Akui itu enggan mendedahkan identiti wanita yang berjaya memenangi hatinya.
“Pelengkap saya itu, nanti-nantilah,” ujarnya pendek.
Dalam pada itu, Hafiz sempat menitipkan ucapan penghargaan buat semua pihak yang sentiasa menyokongnya, selain memohon doa agar perjalanan kerjaya dan kesihatannya sentiasa dipermudahkan.
“Pertama sekali, saya bersyukur ke hadrat Ilahi, terima kasih kepada semua keluarga dan kawan-kawan yang tolong saya.
“Semua peminat di luar sana, doakan kerjaya, kesihatan saya. Saya akan buat yang terbaik untuk semua dalam industri seni,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, Hafiz pernah mendirikan rumah tangga dengan Nureffy pada 14 Mei 2016 dan memiliki dua cahaya mata iaitu Muhammad Riyahd Zafri, 9, dan Muhammad Alkaf Zayne, 5 tahun. – KOSMO! ONLINE














