PETALING JAYA – Bilangan kenderaan yang meningkat di lebuh raya utama di negara ketika ini didakwa mencetuskan kesesakan luar biasa sekali gus mengundang persoalan orang ramai mengenai situasi yang berlaku.
Tinjauan di media sosial mendapati, warga kota memandu berulang-alik ke tempat kerja berdepan kesesakan luar biasa selama hampir dua minggu.
Orang ramai berpandangan, kesesakan itu tidak hanya berlaku pada waktu kemuncak, malah bermula sejak dari awal pagi dan berlarutan hingga malam.
Seorang pengguna TikTok @Myra berkongsi video keadaan di Lebuh Raya Persekutuan di kawasan Petaling Jaya yang berdepan kesesakan lebih awal berbanding waktu puncak ketika orang ramai pulang dari tempat kerja.
“Ada apa Lebuh Raya Persekutuan? Dari pukul 3.15 petang tadi,” katanya pada kapsyen video berhubung situasi di laluan berkenaan pada semalam.
Hantaran itu mendapat pelbagai maklum balas daripada orang ramai yang masih tertanya-tanya mengenai kesesakan luar biasa yang berlaku ketika ini.
“Kenapa dalam dua minggu ini trafik mencabar keimanan betul. Mana datang manusia semua ini?,” soal pengguna TikTok @Axel.
“Semalam dari PJ (Petaling Jaya) ke Mentari Court macam memandu dari Kuala Lumpur ke Muo (Muar). Dari Bangsar nak sampai Klang dekat tiga jam. Aku pun hairan orang KL kuat betul mental hadap sesak. Aku koyak (tak kuat),” kongsi @Erol Je.
“Malam tadi (kelmarin) pukul 11 malam masih sesak orang keluar Tol Sungai Besi. Pelik dari mana kereta banyak semacam,” kongsi @Little pula.
Ada juga pihak yang berpandangan, kesesakan tersebut mungkin berlaku menjelang sambutan Tahun Baharu Cina minggu hadapan dan bulan Ramadan.
“Rakyat dah mula shopping (membeli-belah) nak raya kan? Nak sambut Ramadan,” balas @Bukan Harimau Malaya.
“Nak raya Cina, nak puasa. Nanti raya Cina, kedai, pejabat banyak tutup. Banyaklah yang keluar nak selesaikan hal yang patut,” kata @Amardx.
Kosmo! Online pagi tadi melaporkan, ibu negara berdepan kesesakan lalu lintas luar biasa sejak beberapa hari lalu apabila beberapa laluan utama dilaporkan sesak teruk sejak awal pagi hingga malam.
Tinjauan mendapati aliran trafik dilaporkan perlahan di Lebuh Raya Persekutuan menghala ke pusat bandar, Lebuh Raya Kuala Lumpur-Seremban, Jalan Tun Razak, Jalan Ampang dan beberapa laluan di sekitar Bangsar dan Damansara.
Rata-rata pengguna jalan raya meluahkan rasa kecewa apabila perjalanan yang biasanya mengambil masa setengah jam kini menjadi lebih satu jam berikutan pertambahan jumlah kenderaan dan beberapa insiden kemalangan kecil. – KOSMO! ONLINE
@rezekikembaradamammarFederal highway 11 Feb 2026 14.20pm… Bertabahlah pencari rezeki semua…♬ Langit Tanpa Tiang – -🪻angelina🪻-














