KUALA NERUS – Kerajaan Negeri Terengganu sedang merangka pendekatan bagi mengatasi kadar kelahiran yang mula menunjukkan trend menurun di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Maliaman Kassim berkata, kajian mendapati rata-rata golongan muda di negeri ini tidak mahu beranak ramai.
“Saya rasa faktor ekonomi bukan punca utama. Golongan berpendidikan tinggi dan bekerja yang berpendapatan stabil di negeri ini pun hanya mahu maksimum empat anak sedangkan mereka mampu hingga lapan (anak),” katanya pada sambutan Hari Hijab Terengganu, di sini hari ini.
Maliaman berkata, rata-ratanya golongan muda Terengganu tidak yakin mempunyai kewangan mencukupi untuk memiliki ramai anak.
Beliau berkata, pada masa sama, Terengganu semakin menghampiri negeri tua ekoran golongan warga emas negeri ini kini hampir mencecah 15 peratus daripada populasi.
“Perkembangan tersebut menunjukkan negeri ini sedang berdepan perubahan struktur demografi yang memerlukan perhatian serius.
“Sehubungan itu, Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu sedang merangka pendekatan sesuai menggalakkan golongan muda berkahwin dan mempunyai lebih ramai anak,” katanya. – KOSMO! ONLINE














