fbpx
Balveer Singh menunjukkan bekalan karkas babi yang dirampas di Jalan Ulu Pauh, Chuping dekat Padang Besar, Perlis kelmarin. Foto oleh SHAHIR NOORDIN/KOSMO!

Tak sempat hantar babi ke Pulau Pinang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BUKIT KAYU HITAM – Dua lelaki tidak sempat menghantar 40 karkas babi yang disyaki diseludup dari Thailand ke Pulau Pinang apabila mereka ditahan dalam Op Taring Chiller di Jalan Ulu Pauh, Chuping dekat Padang Besar, Perlis kelmarin.

Operasi khas itu dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Cawangan Risik Batalion 1 Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Perlis.

Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, Perak, Senior Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, dalam operasi tersebut, polis menahan sebuah lori yang dinaiki dua lelaki warga tempatan berusia 32 dan 63 tahun.

“Pemeriksaan lanjut ke atas lori berkenaan mendapati terdapat 40 karkas babi dianggarkan bernilai RM96,390 di bahagian sejuk beku.

“Hasil siasatan awal Cawangan Risik Batalion 1 mengesyaki bekalan karkas babi itu diperoleh dari kawasan Padang Besar dengan ia dipercayai diseludup masuk dari Thailand tanpa sebarang permit atau dokumen sah,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Beliau berkata, siasatan awal juga mendapati bekalan karkas babi tersebut akan dihantar ke Pulau Pinang untuk pasaran tempatan ekoran permintaan yang sangat tinggi.

“Kita percaya dua lelaki terbabit memperoleh sejumlah upah bagi penghantaran babi seludup itu dari Perlis ke sebuah pusat penyembelihan di Pulau Pinang sebelum dipasarkan.

“Jumlah upah dan laluan bekalan babi itu diseludup masih dalam siasatan,” ujarnya.

Tambahnya, pihaknya merampas lori berkenaan, 40 karkas babi dan dua unit telefon bimbit yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM361,000.

“Kes diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Perlis dan siasatan dijalankan di bawah Perintah Kawasan Kawalan Penyakit Kuku dan Mulut bagi Negeri Perlis 2013 yang dibaca bersama Seksyen 36(7) Akta Binatang (Pindaan) 2013 (Akta A1452) yang membawa denda maksimum RM15,000,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN