PENCALONAN individu yang bakal menerajui Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak boleh dibuat bersandarkan sentimen ‘kedai kopi’ kerana memilih calon terbaik adalah menjadi tanggungjawab besar bagi setiap ahli gabungan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kelantan The Red Warriors (TRW), Datuk Mohd. Irwan Rizal menjelaskan ahli gabungan mempunyai ‘kuasa mutlak’ untuk membuat pencalonan namun setiap calon harus ada pakej lengkap.
Mohd. Irwan menjelaskan setiap calon yang diketengahkan harus mempunyai kemampuan, kredibiliti calon, minat dan komitmen selain memiliki pengaruh.
“Badan gabungan yang main peranan untuk memberi pencalonan. Awak (ahli gabungan FAM) sudah ada hak itu, awak calonkan individu yang betul-betul, jangan fikir sentimen, kalau awak fikir sentimen, susah.
“Saya pergi kat sini, saya tanya belah kiri, sentimen dia lain, ke belah kanan, sentimen dia lain. Balik rumah, saya pergi kat kedai kopi, sentimen lain, pergi hotel, sentimen lain.
“Jadi, badan gabungan ini yang main tanggungjawab ini, ‘you have the cards, you play your cards well’ (keputusan di tangan anda, buat keputusan yang betul),” katanya.
Sebelum ini, berlaku peletakkan jawatan secara besar-besaran dikalangan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM dan ketika ini wujud pelbagai andaian calon yang bakal mengisi kekosongan berkenaan.
Mohd. Irwan juga menjelaskan, mencalonkan tokoh korporat bukan penyelesaian mutlak kerana kriteria utama adalah perlu diberikan kepada minat terhadap sukan bola sepak. – KOSMO! ONLINE














