PETALING JAYA – Kadar pertumbuhan penduduk Malaysia pada suku tahun keempat 2025 mencatatkan peningkatan perlahan iaitu 0.6 peratus kepada 34.3 juta berbanding 34.1 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya, seiring penurunan ketara kelahiran hidup sebanyak 5.4 peratus.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan berkata, jumlah kelahiran yang direkodkan adalah sebanyak 99,353 berbanding 105,027 kelahiran pada suku tahun keempat 2024.
Menurutnya, situasi tersebut mencerminkan trend penurunan kadar kesuburan yang semakin ketara, selari dengan fenomena global yang turut dialami banyak negara maju dan membangun.
“Komposisi penduduk warganegara dan bukan warganegara masing-masing kekal pada 90.1 peratus dan 9.9 peratus. Penduduk lelaki meningkat kepada 18.0 juta manakala perempuan kepada 16.3 juta,” katanya.
Tambahnya, nisbah jantina keseluruhan penduduk ialah 110 lelaki bagi setiap 100 perempuan, manakala penduduk berusia 65 tahun ke atas meningkat kepada 8.0 peratus, menandakan negara semakin menuju ke arah struktur penduduk menua.
Dalam masa sama, Selangor merekodkan bilangan kelahiran hidup tertinggi iaitu 18,517 kelahiran, manakala Wilayah Persekutuan Labuan mencatatkan jumlah terendah dengan hanya 331 kelahiran.
Mohd Uzir berkata, secara purata, satu kelahiran direkodkan setiap minit, bersamaan 45 bayi sejam dan 1,080 bayi sehari sepanjang suku tahun keempat 2025.
Sementara itu, sebanyak 51,077 kematian dicatatkan, meningkat 1.3 peratus berbanding 50,415 kematian pada tempoh sama tahun lalu, dengan Selangor merekodkan jumlah kematian tertinggi iaitu 7,990 kes.
“Penduduk berumur 60 tahun dan ke atas merekodkan jumlah kematian tertinggi dengan 70.1 peratus, mencerminkan kesan penuaan populasi,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, trend penurunan kadar kelahiran menimbulkan cabaran besar terhadap struktur demografi, pertumbuhan ekonomi dan keseimbangan sosial negara.
Katanya, beberapa negara seperti Korea Selatan, Jepun, Singapura dan China telah melaksanakan pelbagai dasar sokongan keluarga termasuk cuti bersalin lebih panjang, insentif kewangan dan pengecualian cukai bagi menggalakkan peningkatan kadar kelahiran.
“Malaysia juga perlu merangka pendekatan menyeluruh bagi memastikan kelestarian struktur penduduk dan tenaga kerja pada masa depan,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE














