KUALA LUMPUR – Pasukan siasatan khas Delta Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah menumpaskan sindiket penyeludupan migran yang aktif di Sabak Bernam, Selangor menerusi Op Taring Delta kelmarin.
Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata, serbuan pada pukul 5 pagi itu membawa kepada penahanan 39 warga Indonesia terdiri daripada 19 lelaki, 17 wanita dan seorang kanak-kanak lelaki, serta dua lelaki disyaki tekong laut.
“Sindiket ini dipercayai menggunakan orang tengah di Malaysia dan Indonesia termasuk dari Aceh yang telah lama menetap di negara ini.
“Mereka menggunakan laluan laut di perairan utara Selangor khususnya kawasan persisiran pantai Sabak Bernam dan kapal nelayan besar bagi menjalankan aktiviti jenayah tersebut,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurutnya, sindiket itu dipercayai beroperasi lewat malam hingga awal pagi bermula pukul 12 tengah malam hingga 5 pagi, dengan bayaran bermula RM1,500 hingga RM3,000 seorang bagi satu perjalanan.
“Pembayaran pula dibuat secara pemindahan dalam talian, bukannya secara tunai,” ujarnya.
Sejak 1 Januari hingga hari ini, pihaknya menahan seramai 164 pendatang asing tanpa izin (PATI) atas pelbagai kesalahan dan 11 individu di bawah kes pemerdagangan orang dan penyeludupan migran (ATIPSOM).
“Sepanjang tempoh sama, sebanyak 98 serbuan dijalankan di kawasan bawah Briged Tengah. Seramai 170 individu ditangkap dengan rampasan berjumlah RM9 juta,” katanya.
Beliau menegaskan, pihaknya komited melaksanakan tugas menjaga keselamatan negara dan ketenteraman awam secara profesional demi kesejahteraan serta kemakmuran rakyat Malaysia. – KOSMO! ONLINE














