SEREMBAN – Usaha mengharmonikan peranan serta kuasa antara Kerajaan Persekutuan dan negeri menjadi keutamaan Malaysia dalam merangka pendekatan menyeluruh terhadap pengurusan mineral kritikal.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, keperluan menyelaras kerangka perundangan sedia ada amat penting memandangkan hasil galian berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri manakala urusan eksport terletak di bawah kuasa Persekutuan.
Menurutnya, keadaan itu menuntut satu bentuk persefahaman dan mekanisme bersama antara kedua-dua peringkat kerajaan.
“Kita perlu lihat dan selaraskan dahulu keadaan dalaman kerana kita tidak boleh mengetepikan kuasa negeri dalam hal galian. Pada masa sama, eksport adalah di bawah Persekutuan. Jadi perkara ini mesti diharmonikan,” katanya selepas Majlis Penyampaian Sumbangan kepada Rumah Berhala, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan warga emas Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau di Dewan Orang Ramai Rantau, di sini hari ini.
Mohamad berkata demikian ketika diminta mengulas hasil mesyuarat berkaitan mineral kritikal di Amerika Syarikat (AS) bagi mewujudkan blok kawalan mineral kritikal.
Beliau dalam pada itu turut menjelaskan dalam mesyuarat berkaitan perkara berkenaan, tiada paksaan dikenakan ke atas mana-mana negara untuk menyertai blok berkenaan. – KOSMO! ONLINE














