MELAKAR sejarah, pelakon antarabangsa asal Malaysia Tan Sri Michelle Yeoh bakal menerima penghormatan tertinggi industri hiburan global menerusi pengiktirafan namanya di Hollywood Walk of Fame.
Pengiktirafan tersebut menjadi satu lagi penanda aras bagi kerjaya seni selebriti kelahiran Ipoh, Perak itu selepas merangkul Oscar bagi Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Akademi menerusi filem Everything Everywhere All at Once.
Majlis rasmi yang dijadualkan berlangsung di bangunan bersejarah Grauman’s Chinese Theatre, Los Angeles pada 18 Februari ini menjadikannya sebagai penerima ke 2,836 bintang gah itu.
Pengumuman dilakukan penganjur, The Hollywood Chamber of Commerce menyatakan acara akan diadakan pada pukul jam 11.30 pagi (waktu tempatan).
Peminat di tanah air pula berpeluang menyaksikan detik bersejarah berkenaan pada 19 Februari ini, pukul 3.30 pagi.
Sebelum ini, pada Jun 2023, namanya telah diumumkan sebagai antara penerima bintang Walk of Fame, sebaris dengan tokoh industri lain termasuk Presiden Marvel Studios, Kevin Feige, serta mendiang pelakon, Carl Weathers.
Selepas merangkul Oscar, momentum karier anak seni berusia 63 tahun itu terus memuncak apabila membintangi lebih banyak filem pecah panggung termasuk Wicked: For Good selain bakal muncul dalam francais epik arahanJames Cameron, Avatar 4 dan Avatar 5.
Kemunculan Yeoh juga dapat diikuti dalam siri terbitan Prime Video, Blade Runner 2099, selain menjalinkan kolaborasi bersama pengarah tersohor, Sean Baker yang mengambil latar di Malaysia.
Nyata, beliau tidak melupakan tanah air apabila terbabit dalam filem pendek berjudul Sandiwara yang dirakam sepenuhnya menggunakan iPhone di sebuah pasar malam di negara ini.
Keunikan ditonjolkan dengan mempamerkan aksi luar biasa menerusi lima watak berbeza menggandakan kekaguman ramai terhadap bakat versatilnya.
Filem berkenaan dijadualkan ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Berlin pada 13 Februari ini, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai ikon seni bertaraf dunia.
Terdahulu, perjalanan gemilang Yeoh bermula menerusi filem aksi Hong Kong pada era 1990-an sebelum menawan Hollywood dengan deretan karya bertaraf blockbuster.
Antaranya Crazy Rich Asians, yang mencatat sejarah sebagai komedi romantik dengan kutipan tertinggi di Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh lebih sedekad.
Personaliti popular itu lebih dulu dinamakan sebagai Ikon Tahunan Majalah Time pada 2022 dan dilantik sebagai Duta Muhibah Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) sejak 2016 yang memperjuangkan kesedaran alam sekitar serta pembangunan mampan. – KOSMO! ONLINE














