SABAK BERNAM – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi amaran tegas kepada peniaga bazar Ramadan supaya mematuhi peraturan termasuk meletakkan tanda harga atau berdepan tindakan dalam tempoh 24 jam.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, ia merupakan satu kesalahan di bawah undang-undang dan tidak boleh dipandang ringan.
“Ya, itu salah satu undang-undang yang wajib dipatuhi. Kita harap rakan media yang turun ke bazar Ramadan boleh bantu salurkan maklumat jika ada peniaga tidak letak tanda harga.
“Maklumkan bazar mana, kita akan pantau pada kadar segera. Komitmen kita, apa-apa isu berkaitan harga termasuk penandaan harga, kita akan ambil tindakan susulan dalam tempoh 24 jam,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Inisiatif Ihsan Food Bank (i-FB) di sini hari ini.
Menurut beliau, penguat kuasa KPDN akan bergerak ke bazar Ramadan bagi memantau elemen pencatutan serta pematuhan peniaga terhadap kewajipan mempamerkan tanda harga.
Armizan turut menjelaskan, kerajaan juga mengambil pendekatan proaktif memastikan bekalan bahan mentah mencukupi bagi mengelakkan gangguan rantaian bekalan yang boleh menjejaskan keseimbangan permintaan dan penawaran.
Sehubungan itu, jelasnya, kerajaan tahun lalu menubuhkan Jawatankuasa Penstabilan Bekalan yang dipengerusikan Ketua Setiausaha KPDN bagi menyelaras isu bekalan, khususnya dalam tempoh perayaan.
“Jawatankuasa tersebut melibatkan kerjasama rentas kementerian termasuk Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) bagi memastikan bekalan mencukupi ketika permintaan meningkat.
“Kalau sebelum ini Perdana Menteri pun ada menyebut sudah dua tahun menjelang perayaan ini tidak ada isu yang terlalu besar.
“Kita akan teruskan untuk pastikan tahun ini pun bukan hanya menjelang Ramadan dan Aidilfitri bagi memastikan isu bekalan ini mencukupi seterusnya mengelakkan harga tidak melambung tinggi,” katanya. – KOSMO! ONLINE














