KUALA LUMPUR – Lima Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) mengemukakan permohonan untuk merujuk persoalan Perlembagaan berhubung Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) ke Mahkamah Persekutuan.
Mereka ialah Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin; Pendang, Datuk Awang Hashim; Gerik, Fathul Huzir Ayob dan Rompin, Datuk Abdul Khalib Abdullah.
Persoalan itu adalah berhubung saman pemula yang difailkan mereka terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Peguam Negara dan kerajaan di Mahkamah Tinggi, di sini, 19 Januari lalu.
Peguam S. Karthigesan yang mewakili pemohon berkata, anak guamnya mahu menggunakan Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 bagi merujuk persoalan Perlembagaan itu ke Mahkamah Persekutuan.
Jelasnya, pertikaian tersebut adalah pertama kali dibawa ke mahkamah dan melibatkan persoalan tafsiran Perlembagaan Persekutuan.
“Isu-isu ini memerlukan penentuan oleh Mahkamah Persekutuan khususnya berkaitan kesan perjanjian yang telah ditandatangani, termasuk di bawah Perkara 69 Perlembagaan Persekutuan,” katanya ketika pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Amarjeet Singh Serjit Singh.
Perkara 69 adalah mengenai kuasa Persekutuan untuk memperoleh, memegang dan melupuskan harta dalam apa jua bentuk serta membuat kontrak.
Karthigesan ketika ditemui selepas prosiding berkata, mahkamah berpandangan persoalan yang dibangkitkan mestilah melibatkan isu Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan penelitian dan keputusan oleh Mahkamah Persekutuan.
“Antara isu utama ialah apakah yang dimaksudkan dengan ‘Federation’, apakah kuasa Persekutuan dalam memasuki sebarang kontrak dengan pihak lain serta skop kuasa eksekutif seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan.
“Kes itu turut menyentuh peranan tiga cabang utama kerajaan iaitu eksekutif, legislatif dan kehakiman. Ini merupakan satu perkembangan baharu dalam landskap undang-undang Perlembagaan negara kerana ia melibatkan ketiga-tiga organ kerajaan,” katanya.
Sementara itu, Peguam Persekutuan, Krishna Piya Venugopal memaklumkan beliau memerlukan tempoh dua minggu untuk meneliti dokumen dan mendapatkan arahan lanjut daripada Jabatan Peguam Negara kerana dokumen mahkamah daripada pihak plaintif hanya diserahkan kepadanya, petang semalam.
Hakim Amarjeet kemudian menetapkan 23 Februari ini sebagai tarikh pengurusan kes dan mengarahkan pihak plaintif memfailkan persoalan khusus yang ingin dirujuk ke Mahkamah Persekutuan.
Saman itu difailkan kerana pemohon mendakwa ART yang ditandatangani oleh Perdana Menteri dan Presiden AS, Donald Trump pada 26 Oktober tahun lalu dibuat tanpa dirujuk kepada Parlimen.
Plaintif memohon perisytiharan bahawa Anwar, sebagai perdana menteri, tidak mempunyai kuasa Perlembagaan untuk mengikat Persekutuan kepada Perjanjian ART sama ada melalui tandatangan atau cara lain tanpa mematuhi penglibatan, perundingan, kebenaran dan perkenan yang diwajibkan Perlembagaan daripada Yang di-Pertuan Agong, Majlis Raja-Raja dan Parlimen. – KOSMO! ONLINE














