JOHOR BAHRU – Jabatan Pendidikan Negeri Johor mengesahkan tiga daripada tujuh murid dan pelajar yang dilapor dijangkiti wabak tuberkulosis (tibi) di negeri ini telah pulih dan sedang menjalani baki tempoh kuarantin sebelum kembali dibenar ke sekolah.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin berkata, setakat ini jumlah pesakit dijangkiti tibi di Johor kekal seramai 34 individu melibatkan daerah Kota Tinggi dan Pontian.
Katanya, prosedur saringan dan pelaksanaan kuarantin dilaksana mengikut prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Perkembangan tibi setakat ini tiada penambahan jumlah pesakit, sebaliknya tiga murid sekolah rendah di Kota Tinggi dilaporkan sudah pulih dan sedang menjalani baki tempoh kuarantin di kediaman masing-masing.
“Jadi jumlah murid dan pelajar sekolah negeri ini yang masih dijangkiti tibi hanya empat orang dan kesemuanya menunjukkan perkembangan positif, keadaan juga terkawal, jangan bimbang,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Petrosains Playfarm di Perbadanan Perpustakaan Awam Johor di sini hari ini.
Tambah Aznan, ujian saringan terhad kontak rapat semua pelajar yang terlibat telah dibuat melibatkan ahli keluarga, rakan sekelas serta guru dan kakitangan sekolah terbabit.
“Setakat ini tiada guru-guru sekolah yang dijangkiti tibi,” jelasnya lanjut.
Rabu lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata, satu kluster tibi dengan 33 kes positif dikesan di Kota Tinggi hasil saringan yang dibuat ke atas 804 kontak rapat.
Sementara itu, satu lagi kes turut dilaporkan berlaku melibatkan sebuah sekolah rendah di Pontian, menjadikan jumlah keseluruhan pesakit tibi di negeri ini seramai 34 orang dengan tujuh daripada mereka terdiri daripada murid dan pelajar sekolah.-KOSMO! ONLINE














