PETALING JAYA – Kelantan dijangka berdepan kesesakan lalu lintas luar biasa bermula minggu hadapan, susulan pertindihan cuti sekolah, sambutan Tahun Baharu Cina serta awal Ramadan.
‘Ramalan’ berkenaan sekali gus disebut oleh netizen sebagai ‘musim jem’ (musim sesak) pertama bagi tahun 2026.
Tinjauan di media sosial mendapati, orang ramai mula berkongsi kebimbangan mengenai keadaan trafik terutama di laluan utama masuk ke negeri ini termasuk jalan persekutuan dan lebuh raya yang dijangka dipenuhi kenderaan sejak awal pagi.
Seorang pengguna media sosial mendakwa, pergerakan trafik di beberapa lokasi sekitar Pasir Mas dan Kota Bharu sudah mula perlahan walaupun cuti rasmi belum bermula.
“Belum cuti lagi dah nampak tanda-tanda jem. Kalau semua balik serentak, memang ‘berkampung’ atas jalan,” katanya.
Situasi itu turut dikaitkan dengan peningkatan jumlah perantau yang pulang ke kampung halaman selain kehadiran pelancong domestik yang mengambil kesempatan bercuti panjang sebelum Ramadan.
Rata-rata netizen turut menyuarakan kebimbangan mengenai tempahan penginapan yang dikatakan semakin terhad, dengan ada yang menasihatkan orang ramai supaya membuat perancangan awal bagi mengelakkan kesulitan.
“Balik kampung tak risau, yang risau jem dan homestay penuh,” ujar seorang lagi pengguna.
Orang ramai dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal, memantau keadaan trafik semasa serta bersabar sepanjang tempoh perjalanan memandangkan kesesakan dijangka berlaku secara berperingkat.
Difahamkan, keadaan trafik dijangka kembali reda selepas tempoh cuti sekolah dan sambutan perayaan berakhir.- KOSMO! ONLINE














