fbpx
WANY Hasrita mengakui persaingan dalam dunia nyanyian ketika ini sangat agresif dan dia harus sentiasa bergerak pantas untuk kekal relevan.

‘Kalau terlalu penat, berhenti sekejap, duduk dengan suami di Kuching’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Bukan mudah untuk terus bertahan dalam industri seni yang bergerak pantas, penyanyi Wany Hasrita mengakui sokongan insan terdekat menjadi kekuatan utama untuk terus melangkah.

Ujar Wany atau nama sebenarnya Nurshazwany Hasrita Hasbullah, 33, meskipun dirinya berkali-kali rasa lelah namun terus berjuang kerana dorongan kuat sejak awal pembabitan dalam dunia seni daripada ibunya sendiri.

“Kalau nak cakap tentang individu paling kuat beri semangat, sudah tentu ibu saya.

“Ibu tak pernah putus harapan. Dia selalu pesan, kalau Wany dah terlalu penat, berhenti sekejap. Duduk dengan suami di Kuching. Tak rugi apa-apa pun, ibu okey sahaja,” katanya kepada Kosmo! Online.

Ujar pelantun Menahan Rindu itu, ibunya memahami cabaran dunia hiburan yang sentiasa berubah dan menuntut artis bergerak seiring arus semasa.

“Industri kita bergerak sangat laju. Bukan soal persaingan semata-mata, tapi rentaknya pantas. Jadi saya kena sentiasa hasilkan lagu baharu supaya terus relevan.

“Namun kepuasan itu datang daripada diri sendiri, terutama bila membawakan lagu tradisional. Saya memang suka dengar genre begitu berkumandang di radio,” ujarnya pada pelancaran lagu terbaharunya berjudul Lembayung Tari, di sini, semalam.

Selain ibu, Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular ke-31 (ABP31) itu turut menitipkan penghargaan buat pengurusnya yang banyak membantu ketika dia mengambil keputusan bergerak secara bebas tanpa label rakaman.

“Saya pernah cakap pada dia, boleh tak jaga Wany? Sebab sebelum ini semua diuruskan pihak label. Bila nak bergerak sendiri, saya tak tahu dari mana nak mula.

“Masa itu saya tiada apa-apa. Persembahan pun asyik menyanyikan lagu lama seperti Menahan Rindu, Canggung dan Rintihan Rindu. Alhamdulillah lagu itu masih diterima, tapi saya teringin karya baharu dimainkan di radio,” jelasnya.

Paling penting luahnya, perjalanan setahun bersama pengurusnya bukan tanpa cabaran, namun keserasian akhirnya terjalin.

“Banyak juga naik turun. Ada masa dia marah saya, saya marah dia. Tapi alhamdulillah, bila sampai ke lagu Lembayung Tari, gelombang kami sama.

“Dia selalu yakinkan saya, Wany boleh buat. Jadi kami cuba sahaja. Harap percubaan ini berhasil.

“Ibu dan suami memang antara penyokong paling kuat. Lagu ini pun agak peribadi buat saya. Terima kasih kepada semua yang hadir dan terus menyokong,” jelasnya.

Wany tampil dengan single berjudul Lembayung Tari, ciptaan Hael Husaini dan Iqie Hugh yang menawarkan kelainan menerusi gabungan elemen tradisional dan moden, disulam melodi puitis serta emosi mendalam.

Lembayung Tari memperlihatkan sisi matang Wany dalam percubaan meneroka bunyi segar, sekali gus membuktikan kesungguhannya untuk terus relevan dalam industri muzik tempatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN