fbpx
Setiausaha Agung MA, Nurhayati Karim yang ditemui pemberita hari ini.

Jurulatih tempatan keutamaan MA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Persatuan Olahraga Malaysia (MA) memberi keutamaan kepada jurulatih tempatan dalam sesi temu duga penstrukturan semula barisan kejurulatihan kebangsaan yang berlangsung minggu ini, dengan pelantikan disasar dimuktamadkan awal Mac depan.

Setiausaha Agung MA, Nurhayati Karim berkata, kurang daripada 35 calon disenarai pendek ke fasa kedua selepas melalui proses penapisan awal yang menilai kesesuaian latar belakang khusus dalam olahraga.

“Kami menerima lebih banyak permohonan, termasuk daripada sukan lain. Penapisan pertama dibuat untuk memastikan hanya calon daripada bidang olahraga dipertimbangkan. Kini kurang daripada 35 jurulatih disenarai pendek untuk temu duga fasa kedua,” katanya.

Menurut beliau, proses pemilihan itu melibatkan gabungan calon berpengalaman serta bakat baharu, selain dikendalikan panel bebas bagi memastikan ketelusan.

“Ada wajah lama, ada muka baharu dan nama-nama besar. Semua diberi peluang sama rata. Panel temu duga melibatkan wakil MA, Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara serta panel bebas bagi menjamin proses yang telus,” jelasnya.

MA menyasarkan sekitar 20 kekosongan jawatan jurulatih akan diisi menerusi proses tersebut, dengan fokus utama diberikan kepada calon tempatan sebelum mempertimbangkan permohonan luar negara.

“Strategi kita adalah memberi keutamaan kepada jurulatih tempatan. Jika mereka layak, memenuhi kriteria dan diyakini, kita akan utamakan mereka sebelum menilai calon luar negara,” ujarnya.

Tambah Nurhayati, keputusan pelantikan dijangka dimuktamadkan pada minggu pertama Mac, meliputi jurulatih tempatan serta kemungkinan pengambilan tenaga luar jika diperlukan.

Sebagai rekod, antara nama berprofil tinggi yang menghadiri sesi temu duga termasuk R. Jeganathan, Muhammad Hakimi Ismail, Mohamed Rabbani Hassan serta ketua jurulatih kebangsaan, Manshahar Abdul Jalil. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN