PUTRAJAYA – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki telah mengemukakan surat tuntutan terhadap agensi berita antarabangsa Bloomberg berhubung laporan yang mendakwa beliau memegang jutaan saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan.
Dalam kenyataan media hari ini, Azam mengemukakan surat tuntutan itu menerusi Firma guaman, Zain Megat & Murad.
Berdasarkan kenyataan media itu, laporan, cadangan dan sindiran yang terkandung dalam penerbitan tersebut adalah fitnah, tidak bertanggungjawab dan mengelirukan secara serius selain telah menyebabkan kecederaan serius kepada maruah, kredibiliti dan integriti institusi jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM.
Kenyataan lanjut turut menyatakan, Azam tidak melanggar mana-mana undang-undang, peraturan atau keperluan perkhidmatan awam berkenaan dengan perkara yang dilaporkan.
“Pada setiap masa penting, beliau telah mematuhi sepenuhnya semua kewajipan pengisytiharan aset yang dikenakan ke atas pegawai awam.
“Sebarang pemerolehan dan pelupusan saham seterusnya telah diisytiharkan dengan betul melalui saluran rasmi yang ditetapkan, termasuk Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia, selaras dengan keperluan Jabatan Perkhidmatan Awam,” kata kenyataan itu lagi.
Tambahnya, saham yang dirujuk dalam laporan itu telah dilupuskan sebelum diterbitkan dan pengisytiharan seta rekod dokumentari yang berkaitan wujud dan boleh disahkan.
Justeru firma tersebut diarahkan untuk memulakan tindakan undang-undang dan untuk mendapatkan semua tindakan undang-undang yang ada berhubung dengan penerbitan yang memfitnah itu, termasuk tuntutan untuk ganti rugi dan relif lain yang sesuai.
Semalam media melaporkan Azam mengarahkan peguamnya mengeluarkan surat tuntutan kepada Bloomberg susulan laporan yang disifatkannya ‘mengelirukan’ dan ‘berunsur fitnah’ berhubung urus niaga saham lamanya dalam Velocity Capital Bhd.
Memaklumkan notis undang-undang itu akan dihantar sama ada ke pejabat Bloomberg di Malaysia atau ibu pejabatnya di Amerika Syarikat, Azam menegaskan beliau bersedia membawa perkara itu ke mahkamah.
Pada masa sama, beliau turut menegaskan laporan diterbitkan Bloomberg itu menjejaskan reputasi peribadinya serta imej SPRM.
Beliau menjelaskan isu berkenaan bukan bersifat jenayah, sebaliknya membabitkan tafsiran terhadap pekeliling pentadbiran berkaitan pengisytiharan aset. – KOSMO! ONLINE














