fbpx
DR. MOHD HAZIMIN (kanan) menunjukkan tong LPG yang disita hasil serbuan di dua buah rumah di Telok Mas, Melaka semalam.

Dua lelaki simpan tong LPG bernilai lebih setengah juta dalam rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Taktik dua lelaki menjadikan rumah mereka di Telok Mas sebagai stor simpanan dan pengedaran 820 tong gas petroleum cecair (LPG) bernilai hampir RM600,000 terbongkar selepas premis itu diserbu, malam tadi.

Mereka yang berusia dalam lingkungan 50 dan 40-an ditahan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka pada pukul 9 malam.

Pengarah KPDN Melaka, Dr. Mohd. Hazimin Jamaludin berkata, kegiatan itu dikesan menerusi aduan orang ramai selain risikan selama tiga minggu.

Katanya, pemeriksaan di premis pertama menemui 524 tong LPG pelbagai jenama termasuk 191 tong berisi gas yang disimpan di lokasi tidak dilesenkan. Turut disita lima buah lori yang dipercayai digunakan untuk mengalihkan barangan tersebut.

“Nilai sitaan di premis pertama dianggarkan mencecah RM476,280.60 dan seorang lelaki mengaku bertanggungjawab terhadap premis berkenaan,” katanya pada sidang akhbar, di sini, hari ini.

Serbuan di premis kedua menemukan 296 tong LPG dengan 160 daripadanya berisi gas, selain empat lori yang disyaki digunakan untuk aktiviti sama dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM107,514.00.

“Seorang lelaki ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen atau kebenaran daripada Pengawal Bekalan. Jumlah rampasan di kedua-dua premis dianggarkan RM583,794.60,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN