KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditahan polis selepas disyaki memuat naik hantaran berunsur hasutan di Facebook, semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, hantaran itu antara lain menyatakan komuniti India tidak bertamadun serta menyentuh isu kuil haram yang jelas bersifat menghasut, menghina dengan niat mengganggu ketenteraman awam.
“Sepasukan polis telah membuat tangkapan ke atas suspek yang dipercayai terlibat dalam kes ini dikenali sebagai Cikgu Chandra sekitar pukul 3 petang semalam.
“Polis turut merampas sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk memuat naik hantaran Facebook seperti yang telah tular,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fadil berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.
Katanya, hasil siasatan, suspek mengaku terlibat memuat naik hantaran berkenaan kerana berasa tidak berpuas hati dan ingin menarik perhatian pengikut-pengikutnya di media sosial.
“Suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk siasatan lanjut.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang kenyataan atau memuat naik posting-posting sensitif yang menyentuh isu agama, kaum dan institusi diraja (3R) dan boleh mengganggu keamanan serta keselamatan awam,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














