PETALING JAYA – Suami kepada Allahyarham Akiko Okumura yang juga usahawan dan pempengaruh media sosial, Abd Ridzuan Abdul Mutalib atau lebih dikenali sebagai Ridz Okumura, meluahkan rasa sedih selepas mendakwa kubur arwah isterinya dikhianati pihak tidak bertanggungjawab.
Dalam satu perkongsian di Facebook pagi ini, Ridz berkata beliau dihubungi oleh penjaga kubur yang memaklumkan bahawa kubur Allahyarahm Akiko telah ditaburi garam kasar.
“Pagi ini, hati saya diuji dengan satu khabar yang sangat menyayat jiwa. Penjaga kubur mengirimkan gambar sambil berkata bahawa kubur arwah isteri saya telah dikhianati. Ada tangan-tangan yang tidak berperikemanusiaan menabur garam kasar di situ,” tulisnya.
Ridz mengakui dia kecewa dan tidak memahami mengapa ada pihak yang sanggup melakukan perbuatan sebegitu terhadap tanah persemadian orang yang telah tiada.
Dia turut menekankan bahawa keindahan kubur dan kesuburan rumput yang tumbuh adalah hasil rahmat Allah, bukan usaha manusia.
“Jika kuburnya indah, itu bukan kerana manusia tetapi kerana rahmat Allah. Namun mengapa ada hati yang begitu busuk, sanggup menyimpan dendam hingga ke tanah persemadian orang yang telah tiada?,” katanya.
Dalam perkongsian itu, Ridz juga menyerahkan segalanya kepada Allah agar mereka yang berbuat zalim diberikan petunjuk atau dibalas dengan keadilan-Nya.
“Dan untuk arwah Akiko, semoga kuburnya tetap bercahaya dengan kasih sayang-Mu dan dilindungi daripada segala niat buruk manusia. Amin,” tulisnya.
Terdahulu, Akiko dilaporkan meninggal dunia pada 28 Februari 2025 dan hasil perkahwinan Allahyarham bersama Ridz dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Sky Taizo Okumura. – KOSMO! ONLINE














