PETALING JAYA – Model Toyota Supra yang pernah menjadi ikon di atas bumbung pusat jualan kereta Mutiara Motors di Johor Bahru kembali menjadi bualan hangat apabila gambar lama penurunannya tular semula di media sosial.
Perkongsian terbaharu oleh akaun Facebook @Roda Panas menghidupkan kembali nostalgia orang ramai terhadap kereta tersebut yang pernah menghiasi panorama tepi jalan bandar raya itu lebih dua dekad.
Toyota Supra bersaiz sebenar itu sebelum ini dipasang sebagai papan iklan dan menjadi mercu tanda tidak rasmi bagi pengguna jalan raya yang melalui kawasan berkenaan.
Namun, pada 2025, ia telah diturunkan dari atas bangunan selepas sekian lama terdedah kepada panas dan hujan.
Gambar-gambar yang dikongsi memaparkan keadaan luaran kereta yang kelihatan pudar dan uzur dipercayai akibat faktor cuaca sepanjang tempoh ia ‘bersemadi’ di atas bumbung premis berkenaan.
Meninjau ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa rindu terhadap ikon tersebut, malah ada yang berseloroh mahu membida harganya sekiranya dijual.
Menurut seorang pengguna, Rafie Shahri, keadaan dalaman kereta itu sudah kosong dan hanya tinggal bahagian luaran.
“Ini keretanya, dalaman semua kosong. Cuma badan kereta sama rim dan tayar sahaja. Nak beli pun tak guna. Saya tanya dekat bengkel cat kereta ni,” katanya.
“Open bid (buka bidaan),” kata Harmy Sani.
“Kita buka swap (tukar) dengan RXZ,” komen Zaied Ishak.
Seorang lagi pengguna, Azhar Masre berkata, Supra berkenaan merupakan antara pemandangan yang tidak pernah terlepas daripada pandangannya ketika menaiki bas suatu ketika dahulu.
“Salah satu pemandangan yang tidak pernah terlepas ketika menaiki bas tambang suatu masa dahulu. Seeloknya restore (baiki) dan naik semula di atas,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














