fbpx
Gambar hiasan.

388 individu ditahan, sindiket judi tiga negeri tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Polis berjaya menumpaskan sindiket perjudian dalam talian dengan menahan seramai 388 individu menerusi serbuan Op Angsa di Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang, semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, operasi bermula pukul 2.30 petang melibatkan 17 premis perniagaan dan kediaman yang dijalankan secara serentak.

Menurutnya, sasaran operasi adalah individu dan syarikat yang dipercayai menjalankan aktiviti membangunkan sistem ‘backoffice’, platform perjudian dalam talian serta membangunkan promosi judi bagi pasaran dalam dan luar negara.

“Pecahan tangkapan terdiri daripada 236 lelaki dan 152 wanita berusia dalam lingkungan 20 hingga 48 tahun.

“Berdasarkan semakan awal dokumen pengenalan diri, lapan individu adalah warga asing iaitu empat dari Indonesia, Thailand (2), dan dua orang masing-masing dari Vietnam dan Singapura,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kumar berkata, operasi itu disertai seramai 372 melibatkan 104 Pegawai Kanan Polis dan 268 Pegawai Rendah Polis melibatkan pelbagai elemen di dalam JSJ diterajui Bahagian (D7) Pencegahan/Tahanan/Pengawasan, Bukit Aman.

Katanya, dalam serbuan yang sama, PDRM berjaya merampas pelbagai perkakasan dan peralatan yang disyaki digunakan dalam membangunkan platform perjudian dalam talian.

“Turut dirampas iaitu dua buah kenderaan mewah jenis Lamborghini dan BMW serta beberapa utas jam tangan mewah pelbagai jenama.

“Kesemua tangkapan dibenarkan reman di antara satu hingga tiga hari bagi membantu siasatan. Sebanyak tujuh kertas siasatan dibuka iaitu empat di Pulau Pinang, Selangor (2) dan Kuala Lumpur (1),” ujarnya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a)/ 4B(b)/ 4(1)(g) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan.

Kumar menambah, siasatan akan diteruskan termasuk menjurus kepada tanggungan pemegang-pemegang jawatan dalam pertubuhan atau syarikat selaras peruntukan Seksyen 20A Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI