GUA MUSANG – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kelantan menerima sebanyak 2,004 permohonan MyKad menerusi lima inisiatif Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar), sepanjang tahun lalu.
Pengarah JPN Kelantan, Halimatusaadiah Ramli @ Mohd. Shah berkata, program berkenaan bertujuan membantu golongan sasaran termasuk penduduk luar bandar, orang kurang upaya (OKU), warga emas dan komuniti yang layak bagi permohonan termasuk penggantian dokumen pengenalan diri.
Katanya, sebanyak 2,789 khidmat nasihat turut diberikan kepada orang ramai melibatkan urusan pendaftaran.
“Daripada 235 pelaksanaan program Mekar sepanjang tahun lalu, Mekar Ihsan merekodkan pelaksanaan tertinggi dengan 196 program, diikuti Mekar Komuniti (30), Jejak Identiti (5) dan Hari Bertemu Pelanggan (4),” katanya.
Sementara itu, ahli keluarga seorang wanita OKU di Kampung Kala di sini menzahirkan rasa syukur apabila urusan penggantian MyKad ahli keluarga mereka berjaya diselesaikan dalam tempoh hanya dua minggu menerusi inisiatif Mekar Ihsan JPN.
Hasanah Husin, 42, berkata, kakaknya, Zainab, 55, tidak dapat melakukan pertukaran dokumen pengenalan diri sejak 22 tahun lalu kerana kerap diserang penyakit sawan dan tidak dapat berjalan dengan sempurna.
Katanya, pegawai JPN turut hadir ke kediamannya bagi menyerahkan MyKad secara terus sekali gus memudahkan urusan tanpa perlu mereka hadir ke pejabat. – KOSMO! ONLINE














