KUALA TERENGGANU – Kadar minimum zakat fitrah di Terengganu kekal RM10 seorang seperti tahun lalu.
Satu lagi kategori bagi yang memakan beras premium jenis basmathi dan setara dengannya pula ialah RM20 sekepala iaitu kurang RM1 berbanding tahun lalu.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Zulkifli Ali berkata, penetapan kadar zakat fitrah tersebut berdasarkan nilai segantang Baghdad atau 2.60 kilogram beras yang dimakan umat Islam negeri ini.
“Pembayaran zakat fitrah boleh dilakukan kepada 906 amil bertauliah yang dilantik di seluruh Terengganu.
“Umat Islam juga boleh menunaikan zakat fitrah menerusi transaksi tanpa tunai di laman sesawang Maidam,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Zulkifli berkata, Maidam menyasar mampu mengutip zakat fitrah sebanyak kira-kira RM13 juta pada tahun ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, Maidam berjaya mengutip kira-kira RM301.03 juta zakat pelbagai kategori sepanjang tahun lalu.
“Pada masa sama, kita telah mengagihkan kira-kira RM324.5 juta kepada asnaf berkelayakan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














