fbpx
ROSLAN (tengah) menunjukkan rampasan mercun dan minuman keras bernilai keseluruhan RM1.64 juta membabitkan tiga kes berasingan sejak bulan lalu.

Tindih mercun, bunga api 4 tan dengan barang diluluskan KDN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Taktik licik sebuah syarikat menyembunyikan lebih empat tan mercun dan bunga api yang tidak diluluskan dengan menindihnya dengan barangan dibenarkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) terbongkar dalam serbuan di sebuah gudang di Nilai, Negeri Sembilan.

Pemeriksaan mengejut dilakukan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Melaka itu berjaya menyita kesemua 4,742 kilogram mercun dan bunga api pelbagai jenis.

Pengarah Kastam Melaka, Roslan Yusoff berkata, rampasan itu merupakan sebahagian daripada tiga kes berasingan termasuk dua kes minuman keras yang berjaya ditumpaskan sepanjang Januari lalu membabitkan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM1.64 juta, termasuk duti dan cukai.

“Bagi kes mercun dan bunga api, sepasukan anggota telah menyerbu sebuah gudang milik sebuah syarikat pada 19 Januari lalu kira-kira pukul 1 petang.

“Hasil pemeriksaan menyeluruh mendapati sejumlah 4,742 kilogram mercun dan bunga api pelbagai jenis disimpan di dalam gudang tersebut, dengan sebahagiannya tidak mengikut spesifikasi serta kelulusan yang ditetapkan oleh KDN,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Roslan berkata, kesemua barangan tersebut bernilai RM156,486, termasuk duti dan cukai telah ditindih menggunakan barangan yang mempunyai kelulusan KDN bagi mengaburi mata pihak penguat kuasa.

Ujarnya, dalam serbuan itu, seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an yang berada di lokasi telah ditahan untuk membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Mengulas lanjut beliau turut memaklumkan, JKDM Melaka berjaya mengesan dan menyita sejumlah minuman keras pelbagai jenama bernilai RM599,511.90 termasuk duti di sebuah kediaman di Muar, Johor pada 14 Januari lalu.

“Hasil pemerhatian selama lima jam mendapati tiada pergerakan barang kes di premis terbabit dan pasukan bertindak menyerbu kediaman sebelum menjumpai sejumlah minuman keras bercetak ‘Malaysia Duty Not Paid’ (MDNP), minuman keras pengilangan tempatan dan yang diimport.

“Kes ketiga adalah sitaan di sebuah gudang di Puchong, Selangor pada 16 Januari lalu membabitkan minuman keras bernilai RM882,369 dan seorang lelaki berusia 40-an turut ditahan,” ujarnya.

Katanya, kedua-dua kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 74(1)(c) Akta Eksais 1976 dan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 bagi minuman keras yang diimport. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI