MELAKA – Ibu kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun yang memakai kostum Spiderman bersama seorang lelaki untuk mengemis di sebuah stesen minyak di Cheng, Ahad lalu mendakwa tidak mengetahui perkara tersebut.
Nor Hafika Mohd. Shamsul, 30, berkata, dia yang bekerja sebagai pengasuh terkejut apabila didatangi pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menyiasat kejadian tersebut.
Katanya, lelaki dewasa itu merupakan bapa angkatnya yang dikenali hampir 20 tahun dan sebelum ini anak sulungnya memberitahu dia gembira mengikut datuknya memakai kostum.
“Saya terkejut apabila pegawai JKM datang ke rumah pada hari kejadian dan beritahu anak saya meminta simpati orang ramai.
“Memang saya marah sebab saya tidak pernah suruh dia minta duit. Kostum itu bukan dibeli, tetapi kami ambil di pusat pengumpulan pakaian terpakai di Masjid Tangga Batu pada Disember lalu kerana dia (anak) suka,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Paya Rumput di sini, hari ini.
Menurut Nor Hafika, anaknya pernah memaklumkan dia suka memakai kostum Spiderman kerana ramai kanak-kanak teruja melihatnya.
“Saya memang tidak tahu dia ikut bapa angkat dan berdiri di sana (mengemis). Memang kami kesempitan hidup selepas suami (Mohd. Nazry Mohd. Ali) tidak lagi bekerja selepas menjalani pembedahan.
“Kami bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM250 setiap bulan, tetapi saya tidak pernah suruh dia mengemis,” ujarnya.
Tambah wanita itu, dia berada malu apabila kejadian itu tular, malah anaknya menyesal dan berkali-kali meminta maaf selepas diserbu penguat kuasa JKM di lokasi.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin berkata, semakan mendapati keluarga tersebut menerima bantuan RM250 daripada JKM sejak tahun lalu.
Katanya, pihaknya sedang meneliti keperluan untuk menambah bantuan tersebut dengan mengambil kira situasi semasa keluarga terbabit.
Kosmo! pada Ahad lalu melaporkan seorang lelaki ditahan selepas disyaki mempergunakan kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun untuk mengemis dengan memakai kostum ‘Spiderman’ di sebuah stesen minyak di Cheng.
Lelaki berusia 50 tahun itu ditahan JKM yang diketuai Kalsom kira-kira pukul 6 petang. Operasi itu dilakukan hasil maklumat orang ramai yang simpati dengan nasib kanak-kanak tersebut mengemis dalam cuaca panas. – KOSMO! ONLINE














