KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap pembinaan rumah ibadat secara sewenang-wenangnya tanpa mematuhi prosedur dan kebenaran yang sah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, isu pembinaan kuil Hindu tanpa notis serta tanpa kebenaran pemilik tanah tidak boleh dipandang ringan.
“Negara ini berasaskan undang-undang, bukan kehendak individu. Kita tidak boleh benarkan pembinaan rumah ibadat tanpa prosedur yang betul,” katanya.
Menurut beliau, semua rumah ibadat termasuk masjid, surau, gereja dan tokong Cina tertakluk kepada peraturan yang sama.
“Malah, kebanyakan kuil Hindu juga mematuhi undang-undang. Jadi, jangan timbulkan persepsi seolah-olah ada layanan berbeza,” jelasnya.
Beliau turut memberi amaran agar tiada mana-mana pihak mengambil tindakan sendiri sehingga mencetuskan ketegangan.
“Anda tiada hak mengambil undang-undang di tangan sendiri. Jika ada pertikaian, serahkan kepada polis dan mahkamah untuk diadili,” tegasnya.
Tambah beliau, tindakan segelintir pihak yang cuba mempolitikkan isu sensitif hanya akan menggugat keharmonian yang telah dibina sekian lama.
“Tidak ada sebab untuk kita membiarkan kumpulan tidak bertanggungjawab merosakkan perpaduan negara.
“Tidak ada sebab untuk kita membiarkan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab menggugat keharmonian yang telah kita bina ratusan tahun,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE.














