PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan 13 akaun persendirian termasuk akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Tabung Haji dengan jumlah keseluruhan kira-kira RM2 juta susulan siasatan penyelewangan dana awam sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Pembekuan akaun itu dibuat selepas dua suspek termasuk seorang pengarah NGO dipercayai telah memperdaya orang awam menyalurkan sumbangan kebajikan dan bantuan kemanusiaan melalui organisasi itu.
Pada masa sama, SPRM telah reman pengarah NGO itu serta seorang pengarah syarikat kerana disyaki menyalah guna kuasa dengan menyeleweng dana awam berjumlah kira-kira RM500,000.
Perintah reman selama empat hari hingga 14 Februari depan terhadap kedua-dua suspek dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat SPRM Di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.
Menurut sumber, kedua-dua suspek yang terdiri daripada seorang lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 40-an telah ditahan kira-kira pukul 4 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2022 hingga 2025.
“Kedua-dua suspek dipercayai telah memperdaya orang awam untuk menyalurkan sumbangan kebajikan dan bantuan kemanusiaan melalui NGO tersebut. Bagaimanapun, sumbangan itu tidak diterima dan disalurkan kepada penerima,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Wilayah Persekutuan Putrajaya, Azizul Ahmad Sarkawi ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE














