SHAH ALAM – Kerajaan Selangor akan melaksanakan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang tidak berkenan mengenai aktiviti ternakan babi dan pembinaan rumah ibadat tidak sah di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya sudah mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu dan akan memastikan pelaksanaannya dibuat sebaik mungkin.
“Saya semalam (Selasa) sudah keluarkan kenyataan mengenainya (berhubung titah Sultan Selangor). Kita akan laksanakannya dengan sebaik mungkin,” katanya ringkas ketika ditemui selepas melancarkan program Usahawan Program Bazar Ramadan Selangor 2026 di sini, hari ini.
Kosmo! semalam melaporkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak berkenan penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di negeri ini yang menyebabkan pencemaran udara dengan bau busuk mencemarkan sumber air sungai akibat pelepasan najis dan sisa kumbahan babi.
Dalam perkara berasingan, kata Amirudin, kerajaan negeri meneliti isu bantahan penduduk Kampung Orang Asli Sungai Kurau, Pulau Carey mengenai projek peluasan Pelabuhan Westport yang didakwa mengancam tanah adat dan sumber rezeki.
“Ya, saya akan rujuk perkara itu pada MMKN (Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri) sebentar lagi (petang ini),” katanya.
Terdahulu, masyarakat Mah Meri menerusi surat undangan kepada media memaklumkan Kampung Orang Asli Sungai Kurau yang diwartakan sejak 1921 kini berdepan ancaman besar susulan cadangan peluasan pelabuhan berkenaan. – KOSMO! ONLINE














