KOTA BHARU – Hampir satu juta kenderaan dijangka masuk ke Kelantan sempena cuti Tahun Baharu Cina dan awal Ramadan yang disambut serentak pada minggu depan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat, berkata, cuti umum itu memberi ruang kepada anak-anak Kelantan untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.
“Sambutan awal Ramadan sudah sinonim dengan penduduk di negeri ini, khususnya anak-anak Kelantan yang bekerja di perantauan, apabila mereka pulang untuk menyambut awal Ramadan.
“Selain itu, mereka juga mengambil kesempatan untuk berpuasa bersama keluarga di kampung,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Mohd. Yusoff memberitahu, pihaknya akan menempatkan lebih ramai anggota bagi melancarkan aliran trafik sepanjang tempoh tersebut, sekali gus memberikan kemudahan kepada anak-anak perantau.
Katanya, kawasan panas (hot spot) yang sering berlaku kemalangan di Kelantan turut diberi perhatian bagi memastikan kejadian tidak diingini dapat dielakkan.
“Ops Selamat bermula 15 hingga 20 Februari ini dijalankan bagi memastikan aliran trafik di Kelantan lancar,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














