ISKANDAR PUTERI – LEGOLAND Hotel Malaysia memperkenalkan bufet makan malam Ramadan istimewa berkonsepkan Flavours of Nusantara (Rasa Nusantara) yang menampilkan lebih 200 hidangan serantau dan antarabangsa bermula 21 Februari hingga 18 Mac 2026.
Bufet Ramadan di Restauran Bricks Family itu mengetengahkan gabungan cita rasa Malaysia, Nusantara serta dunia sekali gus menawarkan pengalaman berbuka puasa yang meriah dalam suasana bertemakan LEGO.
Antara tarikan utama bufet berkenaan adalah kambing panggang, mee tarik serta asam pedas claypot yang dimasak secara tradisional bagi mengekalkan rasa dan aroma asli.
Pengunjung turut dihidangkan dengan pelbagai menu istimewa lain seperti patin tempoyak, daging salai daun selom, daging kalio Minangkabau, sate Minang, bakso dan kupang hitam bersambal.
Terdapat juga beraneka kuih-muih dan lebih 10 pilihan pencuci mulut untuk dinikmati sepanjang berbuka di LEGOLAND Hotel Malaysia.
Bagi menambah kemeriahan suasana Ramadan, tetamu bukan sahaja dapat menikmati hidangan malah turut dihiburkan dengan persembahan muzik dan tarian tradisional.
Menurut pihak penganjur, restoran yang telah diubah suai itu menawarkan persekitaran ceria dan selesa dengan elemen LEGO serta aktiviti meja seperti mewarna dan permainan mini dalam suasana menyeronokkan untuk seisi keluarga. -KOSMO! ONLINE














