SHAH ALAM – Tiga daerah merangkumi Petaling, Klang dan Hulu Langat merekodkan jumlah penerima bantuan zakat tertinggi dengan RM18.49 juta daripada keseluruhan RM35.98 juta untuk agihan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor), Mohd. Khaidzir berkata, secara pecahan Petaling mencatatkan jumlah penerima tertinggi iaitu 14,778 orang dengan nilai bantuan sebanyak RM6.79 juta.
Katanya, Klang pula seramai 13,167 penerima (RM6.04 juta) dan Hulu Langat seramai 12,217 penerima (RM5.66 juta).
“Kawasan tersebut terkenal sebagai kawasan perindustrian dan komersial. Jadi, apabila asnaf ini berpindah kena duduk di tempat kerja atau cari rezeki.
“Kalau (tinggal) di kawasan industri bermakna lebih banyak peluang kerja sebagai contoh penghantar makanan dan buka gerai. Selepas setahun dan dua tahun, masih lagi terbelenggu dengan kos sara hidup dan didaftarkan sebagai asnaf,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau bersama Timbalan Mufti Selangor, Datuk Dr. Miszairi Sitiris menyempurnakan program simbolik agihan bantuan Ramadan dan Syawal Tahun 2026.
Beliau turut menjelaskan, daripada jumlah berkenaan seramai 27,815 ketua keluarga asnaf fakir akan menerima RM13.18 juta diikuti 45,943 ketua keluarga asnaf miskin (RM21.36 juta) dan 4,898 mualaf menerima sebanyak RM1.56 juta.
Berdasarkan data, Hulu Langat mencatatkan jumlah Ketua Keluarga (KK) fakir tertinggi iaitu 5,005 orang manakala Petaling lebih ramai KK miskin dengan 8,769 orang.
Tambah Mohd. Khaidzir, setiap penerima mendapat bantuan zakat di antara RM300 hingga RM1,000 bergantung kepada jumlah tanggungan yang akan disalurkan pada 1 Ramadan ini sama ada melalui dikreditkan terus ke akaun, E-Dompet, baucer tunai dan tunai.
“Justeru, kita meminta asnaf Zakat Selangor sentiasa mengemas kini terutama tanggungan mereka. Antara sebab tidak dapat (tambahan) susulan ketiadaan bukti dokumen sokongan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, banyak isu berkaitan miskin bandar di Selangor meskipun mempunyai infrastruktur yang lengkap.
“Itu sebab apabila kita pergi ke Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) berdasarkan alamat dengan dikatakan 500 orang. Saya boleh katakan 20 peratus duduk satu blok dengan kebanyakan menyewa.
“Justeru, had kifayah di Selangor adalah berbeza ekoran faktor ekonomi berbanding dengan negeri-negeri lain,” katanya. – KOSMO! ONLINE














