fbpx
Binaan pangkalan haram Ibrahim Pencen di Rantau Panjang yang dirobohkan pada Disember lalu.

Perobohan 96 jeti haram di Sungai Golok selesai minggu ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Kerja-kerja perobohan sebanyak 96 daripada 216 jeti haram berstruktur atas tanah kerajaan di sepanjang Sungai Golok di sempadan Malaysia-Thailand bagi mengekang aktiviti penyeludupan dijangka selesai pada minggu ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, pangkalan haram di Pengkalan Kubor, Tumpat merupakan lokasi terakhir untuk kerja-kerja perobohan jeti di atas tanah kerajaan selepas Rantau Panjang dan Pasir Mas.

“Kita akan meneruskan kerja-kerja perobohan pangkalan haram sehingga tiada lagi jeti-jeti di kawasan sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan.

“Sebanyak 62 pangkalan haram telah dirobohkan setakat semalam, manakala baki selebihnya kini tertumpu sepenuhnya di daerah Tumpat,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Mohd. Yusoff memberitahu, sebanyak 223 pangkalan haram dikenal pasti di Kelantan melibatkan 216 di atas tanah kerajaan dan tujuh lagi di tanah persendirian.

Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak 120 jeti dibina secara tidak berstruktur manakala selebihnya mempunyai binaan.

“Pemantauan dan pemeriksaan mendapati, tiada sebarang binaan baharu yang dibuat di kawasan pangkalan haram yang sudah dirobohkan,” ujarnya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, kerja-kerja meroboh jeti haram di sepanjang Sungai Golok bagi mengekang aktiviti penyeludupan bermula 28 Oktober lalu dengan pangkalan haram Gergaji dan MCA menjadi perintis.

Operasi itu dijangka mengambil masa selama dua bulan melibatkan 223 pangkalan haram dari Pengkalan Kubor hingga Jeli dengan tujuh daripadanya didirikan atas tanah milik persendirian.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara Kelantan, Datuk Mohd. A. Aruwan Ab. Aziz berkata, kerja-kerja meroboh 216 jeti haram atas tanah kerajaan di sepanjang Sungai Golok di sempadan Malaysia-Thailand bagi mengekang aktiviti penyeludupan dijangka selesai pada Mac ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI