fbpx
ANTHONY (kiri) pada Majlis Peluncuran Khas Ketibaan Golden Tren EMU dan E-Loco di Stesen ECRL KotaSAS di Kuantan hari ini.

Perjalanan pertama tren ECRL Gombak–Kota Bharu dalam 11 bulan lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUANTAN – Tren pertama Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang akan menjadi nadi pengangkutan baharu negara akan memulakan perjalanan pertama dalam tempoh 11 bulan lagi sekali gus membuka lembaran baharu dalam ekonomi, sosial dan budaya di negara ini.

Tren pertama dari Gombak, Selangor ke Kota Bharu, Kelantan dengan jarak 665 kilometer bakal memendekkan masa perjalanan yang selama ini mengambil masa yang lama melalui jalan darat.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, setakat Januari lalu, projek bernilai RM50.27 bilion itu sudah mencapai kemajuan pembinaan 91.70 peratus, selari dengan jadual penyiapan jajaran dari Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak menjelang akhir tahun ini.

Jelasnya, justeru tumpuan kini beralih kepada persiapan menyeluruh bagi fasa pengoperasian projek rel terbesar di Malaysia itu yang menjadi simbol kerjasama strategik Malaysia–China.

“Projek ECRL sekali lagi mencatat mercu tanda penting dengan ketibaan dua tren Electric Multiple Units (EMU) dan dua buah lokomotif elektrik (E-Loco) yang pertama di Malaysia.

“Majlis pada hari ini bukan sahaja menandakan pencapaian teknikal, malah mencerminkan kerjasama erat, kepercayaan bersama, dan dedikasi tinggi antara Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) selaku pemilik Projek ECRL serta China Communications Construction Company (CCCC) sebagai kontraktor utama dalam memastikan piawaian tertinggi dipatuhi bagi pembangunan sistem rel moden di Malaysia,” katanya pada Majlis Peluncuran Khas Ketibaan Golden Tren EMU dan E-Loco di Stesen ECRL KotaSAS di sini hari ini.

Pada majlis itu, turut diadakan penyerahan surat lantikan penyedia infrastruktur rangkaian mudah alih jajaran ECRL kepada Maxis Berhad.

Projek ECRL memperuntukkan 11 set tren EMU enam gerabak bagi perkhidmatan penumpang dan 12 buah E-Loco untuk tujuan kargo daripada syarikat CRRC Dalian. Setakat ini, dua set tren EMU dan dua buah E-Loco sudah selamat tiba di Malaysia akhir Disember lalu.

Setiap set tren EMU mampu beroperasi sehingga kelajuan 160 kilometer sejam (km/j) dengan kapasiti 425 penumpang bagi konfigurasi kelas ekonomi sepenuhnya. Reka bentuk luaran dan dalaman tren ini diilhamkan daripada seni serta kebudayaan Malaysia dan dilengkapi kemudahan seperti tandas, rak bagasi, kaunter makanan dan minuman, bilik solat berserta tempat wuduk serta kemudahan orang kurang upaya (OKU) bagi memastikan keselesaan penumpang.

Sementara itu, E-Loco ECRL berkeupayaan beroperasi pada kelajuan sehingga 80 km/j dengan keupayaan menarik sehingga 45 gerabak dan kapasiti muatan maksimum sebanyak 3,500 tan bagi setiap perjalanan.

Menurut Anthony, pengoperasian komersial tren EMU dan E-Loco yang dijadualkan bermula pada Januari 2027 bakal membuka lembaran baharu dalam memperkukuh ECRL sebagai mod pengangkutan hijau untuk penumpang dan kargo, merentasi rangkaian rel elektrik sepanjang 665 kilometer melalui negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, dan Selangor.

Katanya, hasrat kerajaan Persekutuan untuk mengintegrasikan Pantai Timur dan Pantai Barat secara lebih tersusun melalui ECRL diyakini akan meningkatkan mobiliti rakyat, mengurangkan masa perjalanan dan merapatkan jurang pembangunan antara wilayah.

Beliau berkata, dalam aspek keselesaan dan produktiviti pengguna, kerajaan Persekutuan menyambut baik inisiatif penyediaan infrastruktur rangkaian mudah alih di sepanjang jajaran ECRL.

“Penyerahan surat lantikan kepada Maxis Berhad sebagai Penyedia Infrastruktur Rangkaian Mudah Alih Jajaran ECRL akan membolehkan semua operator mudah alih negara menyediakan perkhidmatan 4G dan 5G kepada penumpang ECRL,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN