SUNGAI BULOH – Sebanyak 407 lokasi ‘hot spot’ dan 76 lokasi ‘black spot’ di seluruh negara dalam pemantauan polis bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya sepanjang pelaksanaan Op Selamat 25 sempena Tahun Baharu Cina 2026.
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya telah mengenal pasti 25 ‘hot spot’ dan 46 ‘black spot’ di lebuh raya utama yang akan diberi tumpuan pemantauan bagi menjamin keselamatan serta kelancaran aliran trafik.
“Selain itu sebanyak 407 ‘hot spot’ dan 76 ‘black spot’ di seluruh negara turut diberi perhatian,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Op Selamat 25 sempena Tahun Baharu Cina 2026 di sini hari ini.
Mohd. Yusri berkata, seramai 6,930 pegawai dan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik digerakkan bagi menjalankan rondaan, pemantauan di kawasan ‘hot spot’ dan ‘black spot’, selain mengawal serta melancarkan aliran trafik.
“Pemantauan udara turut dilaksanakan menggunakan Pasukan Gerakan Udara,” ujarnya.
Menurutnya, Op itu turut memfokuskan kepada enam kesalahan trafik utama yang sering menjadi punca kemalangan semasa musim perayaan.
“Kesalahan tersebut ialah memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, memotong barisan (Q-cutting), tidak mematuhi lampu isyarat, memandu melebihi had laju, dan menggunakan telefon bimbit semasa memandu,” jelasnya.
Op Selamat 25 yang bermula pada 15 Februari hingga 20 Februari bertujuan mencegah kemalangan jalan raya melalui kempen kesedaran keselamatan.
Selain itu, Op berkenaan bertujuan mengurangkan kemalangan maut dan cedera serta memastikan kelancaran trafik semasa musim perayaan. – KOSMO! ONLINE














