SETIAUSAHA Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John memberi bayangan kemungkinan keputusan rayuan barisan pemain Harimau Malaya di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) bakal berakhir dengan nada positif.
Menurutnya, masih ada peluang untuk melihat keputusan CAS berpihak kepada kem negara selepas badan penghakiman antarabangsa itu meluluskan permohonan penangguhan hukuman penggantungan dikenakan ke atas tujuh pemain warisan Harimau Malaya bulan lalu.
Kata Windsor, keputusan itu bukan perkara mudah untuk diperoleh memandangkan CAS menetapkan had yang amat tinggi sebelum membenarkan sebarang penangguhan.
“Mereka memohon perintah penangguhan dan CAS meluluskannya sekali gus memberi petunjuk ada harapan kepada Malaysia.
“Ini kali pertama sepanjang saya di AFC. Tak pernah ada satu kes pun sebelum ini yang mendapat penangguhan.
“Ini sangat sukar kerana syarat yang ditetapkan mahkamah itu amat ketat,” katanya ketika menjadi panel dalam satu program televisyen swasta.
Mengulas lanjut, Windsor turut menjelaskan potensi hukuman masih dianggap 50-50 yang dianggap seimbang untuk dimenangi oleh kedua-dua pihak.
“Berdasarkan pengalaman kami di AFC, peluangnya boleh dianggap 50-50,” katanya.
Sebelum ini, CAS membenarkan penangguhan hukuman terhadap Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel yang digantung 12 bulan selepas didapati bersalah memalsukan dokumen.
CAS bakal membuat persidangan pada 26 Februari depan sebelum memutuskan rayuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan semua tujuh pemain warisan terbabit.














