MELAKA – “Bila saya dengar bunyi amaran hon dari belakang kereta Perodua Myvi itu, saya sudah rasa tak sedap hati dan ketika itulah saya terus masuk gear satu,”.
Kongsi Muhammad Zafran Abdul Rahman, 25, salah seorang penunggang motosikal yang terlibat dalam rempuhan membabitkan enam kenderaan di persimpangan lampu isyarat di Padang Jambu, Bukit Baru di sini, petang semalam.
Kejadian kira-kira pukul 2 petang itu turut mengorbankan seorang bapa empat anak, Mohd. Shahrol Anuar Md. Roby, 44, yang menunggang motosikal jenis Honda EX5.
Muhammad Zafran bagaimanapun mengalami patah kaki kanan dan sedang dirawat di sebuah hospital swasta.
Menurutnya, ketika kejadian dia dalam perjalanan ke kilang tempatnya bekerja di Batu Berendam selepas keluar makan tengah hari.
“Motosikal saya berada bersebelahan dengan mangsa yang maut, kejadian berlaku begitu pantas dan waktu itu memang kami semua sedang berhenti di lampu isyarat merah untuk masuk ke simpang kanan.
“Saya dengar bunyi hon amaran daripada kereta di belakang Myvi berkenaan, tetapi kereta itu tetap bergerak laju lalu saya terus masuk gear satu dan bergerak sedikit ke kiri,” katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini.
Jelasnya lagi, ketika kejadian kaki kanannya telah terkena pada bahagian bumper Myvi berkenan sebelum kenderaan itu terbalik.
“Mujurlah dalam saat getir itu, saya sempat mengelak, kalau tidak mungkin saya pun terkorban.
“Tetapi keadaan sangat kelam-kabut sampaikan ketika itu saya sebenarnya tidak tahu pun ada yang meninggal dunia,” ujarnya.
Semalam Kosmo! melaporkan seorang peniaga maut, manakala tiga lagi cedera selepas pemandu sebuah Perodua Myvi yang dipercayai mengalami ‘Microsleep’ merempuh lima kenderaan di lampu isyarat persimpangan Padang Jambu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kemalangan berlaku apabila Myvi terbabit yang dari arah Bandar Melaka ke Bukit Beruang tiba-tiba masuk ke laluan bertentangan.
“Myvi ini telah melanggar tiga buah motosikal dan dua buah kereta yang sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat.
“Akibat rempuhan itu, penunggang Honda EX5 maut di lokasi, manakala tiga yang lain cedera di kaki kanan serta dahi dan bahu kanan. Pemandu lelaki Myvi terbabit yang berusia 35 tahun bagaimanapun hanya melecet di bahagian siku,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














