LAWAN pedang muncul antara fokus utama kerjasama strategik antara Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Hong Kong (HKSI) apabila kedua-dua pihak memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh pembangunan sukan prestasi tinggi negara.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol berkata, kerjasama bermula 2026 hingga 2029 itu membuka ruang kepada Malaysia untuk menimba kepakaran Hong Kong yang terbukti berjaya melahirkan atlet bertaraf dunia dalam beberapa disiplin termasuk lawan pedang.
“Kerjasama ini memberi peluang kepada kita belajar daripada Hong Kong yang lebih maju dalam pembangunan atlet. Fokus utama termasuk lawan pedang, pelayaran dan sukan tempur bagi meningkatkan kualiti latihan serta prestasi pertandingan,” katanya.
Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin menjelaskan impak terbesar yang dijangka dapat dilihat dalam masa terdekat adalah pada sistem pembangunan lawan pedang negara.
“Dari sudut impak, saya melihat lawan pedang antara yang paling besar. Kita bukan sekadar mahu meningkatkan program latihan tetapi mahu belajar bagaimana mereka membina kapasiti sistem sukan berprestasi tinggi,” katanya.
Menurut Jefri, HKSI memainkan peranan penting dalam pelantikan jurulatih elit sekali gus memastikan setiap program mencapai petunjuk prestasi utama yang ditetapkan.
“Kebanyakan jurulatih elit di sana dilantik terus oleh institusi sukan mereka. Dari situ mereka dapat mengawal pencapaian program serta memastikan sasaran prestasi dipenuhi. Itu antara perkara yang kita pelajari,” jelasnya.
Dalam masa sama, Malaysia turut berkongsi kepakaran dalam beberapa disiplin seperti badminton, skuasy, boling padang, olahraga dan wushu sebagai sebahagian daripada pertukaran ilmu dua hala antara kedua-dua negara.
Kerjasama strategik itu dilihat mampu mempercepatkan pembangunan atlet elit negara, dengan lawan pedang berpotensi muncul sebagai antara sukan yang menerima lonjakan paling ketara hasil pemindahan kepakaran antarabangsa.














