LIVERPOOL – Kekalahan kepada Manchester City kelmarin meletakkan kedudukan Liverpool semakin jauh dengan kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris (EPL), sekali gus mampu merentap peluang mereka ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan.
Bagaimanapun, The Reds berpeluang untuk kembali merapatkan jurang dengan kelompok empat teratas menjelang perlawanan menentang Sunderland di Stadium of Light awal pagi esok.
Pemain tengah Liverpool, Ryan Gravenberch menggesa rakan sepasukan supaya menampilkan aksi lebih baik dalam perlawanan akan datang kerana menganggap ia satu-satunya cara untuk mereka mara ke UCL.
“Kami perlu mula memenangi perlawanan jika mahu menempatkan diri dalam kelompok empat teratas pada penghujung musim nanti. Saya yakin dan tidak risau kerana kami memiliki pemain-pemain berkualiti.
“Kita tunggu dan lihat apa yang akan berlaku nanti. Tugas kami sekarang adalah terus bekerja keras dan jangan mengalah kerana masih banyak perlawanan perlu diharungi selepas ini,” katanya.
Bintang Belanda itu turut mengakui, kekalahan kepada City merupakan sesuatu yang sangat mengecewakan, lebih-lebih lagi mereka menampilkan aksi lebih baik berbanding skuad kendalian Pep Guardiola itu.
“Sudah tentu saya kecewa kerana kami layak untuk catat keputusan lebih baik. Kami bermain lebih baik di separuh masa kedua tetapi amat mengecewakan kerana kami gagal mengutip sebarang mata,” ujar Gravenberch. – AGENSI














