fbpx
Gambar hiasan

Lelaki warga asing ditahan curi bateri kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga Indonesia ditahan selepas dipercayai aktif terlibat dalam kegiatan curi bateri kereta di sekitar kawasan Dato Senu, Sentul, di sini.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zahari berkata, pihaknya menerima sebanyak 17 laporan polis sejak Oktober tahun lalu membabitkan kes curi bateri kenderaan di kawasan berkenaan melibatkan mangsa berlainan.

Menurut beliau, suspek berusia 27 tahun itu ditahan dalam satu operasi dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul pada Jumaat lalu.
“Suspek yang bekerja sebagai pembantu di sebuah kedai makan di kawasan Dato Senu ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Sukarno berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan suspek telah direman sehingga 21 Februari ini.

Menurutnya, kejayaan tangkapan itu turut membantu polis menyelesaikan beberapa kes curi bateri kereta di sekitar kawasan Dato Senu.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah diminta menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu membanteras kegiatan jenayah daripada terus berleluasa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN