SEBERANG PERAI – Polis Pulau Pinang berjaya menumpaskan satu kegiatan pengedaran dadah bernilai RM2.1 juta selepas menahan seorang lelaki di kawasan tempat meletak kereta di sebuah kondominium di Bukit Mertajam di sini, semalam.
Tangkapan terhadap suspek lelaki tempatan berusia 37 tahun itu dijalankan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang, kira-kira pukul 4.25 petang.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, penahanan suspek terbabit telah membawa kepada penemuan tiga beg berisi dadah bersama 550 peket plastik mengandungi cecair disyaki syabu serta pil ekstasi di dalam sebuah premis.
Menurutnya, turut ditemui adalah peralatan dan perkakasan memproses cecair vape di lokasi berkenaan.
“Soal siasat terhadap suspek turut mengaku ada menyimpan dadah di ruang khas kenderaan dan hasil pemeriksaan menemui dua plastik putih mengandungi 1,800 foil aluminium yang mana setiap satunya berisi 10 biji pil disyaki pil eramin 5.
“Polis turut menjumpai satu beg plastik hitam yang di dalamnya mengandungi bungkusan berisi ketulan dan serbuk kristal diyaki ketamin,” katanya di sini, hari ini.
Beliau memberitahu, nilai rampasan keseluruhan dadah adalah bernilai RM2.1 juta dan suspek ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Hasil risikan mendapati aktiviti pengedaran dadah ini bergiat aktif sejak Oktober tahun lalu dan jumlah keseluruhan dadah yang dirampas boleh digunakan lebih 100,000 penagih atau 100,000 kali penggunaan.
“Hasil ujian air kencing terhadap suspek pula mendapati dia positif dadah jenis ketamin, amphetamine dan methamphetamine selain mempunyai rekod lampau kesalahan dadah,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














