BACHOK – Kes kebakaran di Kelantan mencatatkan penurunan sebanyak 55 peratus sepanjang 2025 berikutan kesedaran masyarakat terhadap pengendalian dapur, barangan elektrik dan kebakaran terbuka.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Farhan Sufyan Borhan berkata, sebanyak 1,400 kes kebakaran direkodkan pada tahun lalu berbanding 3,112 kes pada 2024.
Menurutnya, jumlah kerugian harta benda pada tahun lalu juga menurun sebanyak 16 peratus iaitu lebih RM23 juta, manakala nilai harta yang berjaya diselamatkan mencecah lebih RM163 juta.
“Daripada jumlah itu, 642 kes berpunca daripada nyalaan elektrik, sekali gus menjadikan faktor tersebut merupakan penyumbang terbesar kes kebakaran di negeri ini. Penurunan kes kebakaran pada tahun lalu juga disebabkan oleh kesedaran masyarakat terhadap pengendalian dapur, barangan elektrik dan kebakaran terbuka.
“Daripada aspek penguatkuasaan, JBPM Kelantan melaksanakan sebanyak 663 pemeriksaan Menghapus Bahaya Kebakaran (MBK) tahun lalu melepasi sasaran 500 premis. Kita juga menyasarkan 700 pemeriksaan pada tahun ini khususnya di premis tumpuan ramai,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Siap Siaga Raya 2026 di Jelawat Baru di sini hari ini.
Farhan memberitahu, pihaknya menerima sebanyak 177 panggilan kebakaran dengan 43 peratus melibatkan kebakaran bangunan atau struktur sepanjang musim perayaan Tahun Baharu Cina dan Aidilfitri tahun lalu.
Menurutnya, JBPM Kelantan juga memberi respons kepada 99 kes kemalangan jalan raya melibatkan dua kematian dan 23 kecederaan sempena Hari Raya Aidilfitri bagi tempoh 23 Mac hingga 9 April 2025. – KOSMO! ONLINE














