JOHOR BAHRU – Ramadan tahun ini disambut dalam suasana berbeza bagi bekas peserta Akademi Fantasia musim keenam (AF6), Mama Rina apabila tidak lagi mampu membuat kuih raya untuk menampung kehidupannya.
Mama Rina atau nama sebenarnya, Hairini Abdul Halim, 63, berkaya, sejak kaki kanannya dipotong hingga paras lutut hujung tahun lalu, pergerakannya terbatas dan hanya bergantung kepada kerusi roda.
“Ramadan sebelum ini, saya memang tidak duduk diam. Menjelang puasa, saya akan mula ambil tempahan kuih tradisional. Kuih-kuih itu saya akan bawa sekali kalau pergi busking.
“Tetapi kali ini memang tak dapat buat, nak buat kuih kena berdiri lama dan bergerak aktif. Sekarang saya duduk sahaja, banyak kekangan,” katanya ketika ditemui di rumah arwah bapanya di Taman Intan, Ulu Tiram di sini hari ini.
Mama Rina yang menghidap penyakit kencing manis berkata, segalanya bermula apabila dia terjatuh dan terseliuh di hadapan rumahnya pada tahun lalu sehingga menyebabkan kakinya bengkak selama dua hari.
“Saya tidak sangka ia jadi seteruk ini. Pada awalnya saya mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) sebelum doktor Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) menasihatkan supaya kaki dipotong bagi mengelakkan jangkitan lebih teruk.
“Nak kata okey memang tak okey, tapi kena kuat semangat. Hidup kena teruskan. Kalau nak baring dalam bilik bersedih, sampai bila orang nak hulur bantuan?,” katanya yang aktif melakukan persembahan busking di Pasar Borong Pandan. Wanita itu menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM600 sebulan.
Terdahulu, Mama Rina dikunjungi Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez dan Pengerusi Karyawan yang juga penyanyi legenda, Datuk Khatijah Ibrahim untuk menyampaikan sumbangan tunai. – KOSMO! ONLINE














