PETALING JAYA – Buat pertama kalinya, penyanyi Joy daripada kumpulan Red Velvet bakal mengadakan konsert solonya di Kuala Lumpur.
Konsert yang diberi nama Joy Splash itu dijadual bakal berlangsung pada 25 April 2026 di Zepp Kuala Lumpur, jam 8 malam adalah sebahagian daripada siri jelajah 2026 Joy Asia Tour.
Peminat kumpulan Red Velvet yang dikenali dengan nama REVELUV Malaysia pasti teruja apabila Kuala Lumpur diumumkan sebagai destinasi tambahan terbaharu dalam jadual jelajah Asia Joy, bersama Bangkok, selepas pengumuman awal konsert di Taipei dan Hong Kong.
Kehadiran Joy ke Kuala Lumpur selepas kejayaan siri aktiviti solo rakan sepasukannya daripada Red Velvet yang menerima sambutan hangat peminat tempatan.
September lalu, Irene dan Seulgi terlebih dahulu menghangatkan pentas Mega Star Arena menerusi BALANCE World Tour, manakala Wendy pula tampil dengan konsert W:EALIVE di Zepp Kuala Lumpur pada Disember tahun lepas.
Sambutan luar biasa terhadap ketiga-tiga konsert tersebut membuktikan sokongan padu peminat tempatan terhadap persembahan solo ahli kumpulan Red Velvet dan kini giliran Joy menghiburkan peminatnya.
Joy memulakan kerjayanya pada tahun 2014 sebagai anggota Red Velvet di bawah naungan SM Entertainment dan pantas mencipta nama di peringkat global.
Kumpulan itu dikenali menerusi deretan lagu hit seperti Ice Cream Cake, Red Flavor, Peek-A-Boo, Psycho dan Feel My Rhythm, sekali gus mengukuhkan status mereka sebagai antara kumpulan wanita K-pop paling berpengaruh.
Dalam Red Velvet, Joy dikenali dengan vokal ceria dan memiliki pesona pentas yang memikat hati peminat.
Joy memulakan perjalanan solo pada 2019 menerusi single pertama berjudul Hello yang sukses dan mencatat kejayaan di carta muzik, termasuk menduduki tempat teratas iTunes di 26 wilayah.
Joy kemudiannya tampil dengan lagu Happy Birthday dan Love Splash, lagu utama daripada mini album pertamanya ‘From JOY, with Love’ yang dilancarkan pada Ogos 2025, sekali gus menampilkan sisi muzik yang lebih matang tanpa meninggalkan identiti cerianya.
Konsert ini dianjurkan oleh UJIN Entertainment, dengan maklumat lanjut berkaitan venue, waktu persembahan serta penjualan tiket dijangka diumumkan tidak lama lagi. – KOSMO! ONLINE














