PETALING JAYA – Rakyat Malaysia diingatkan supaya tidak memandang ringan isu-isu sensitif melibatkan agama dan kaum sehingga boleh mencetuskan ketegangan dalam negara majmuk.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia dibina atas kepelbagaian kaum, agama, budaya dan adat resam yang menjadi kekuatan utama negara sejak sekian lama.
“Kalau kita mahu bicara soal kekuatan, inilah kekuatan kita. Tetapi jika kita biarkan perkara sensitif berlarutan tanpa ditangani dengan baik, ia boleh menimbulkan unsur ketegangan.
“Mutakhir ini timbul isu perubahan tempat ibadat yang tidak mengikut peraturan serta beberapa polemik sensitif. Semua pihak sebenarnya tahu apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan.
“Kita mesti tangani isu ini dengan baik dan penuh hormat. Jangan menghina kepercayaan orang lain,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina (ACCCIM) di Sunway, dekat sini hari ini.
Beliau merujuk kepada beberapa polemik mutakhir termasuk isu perubahan tempat ibadat yang tidak mengikut peraturan serta perbahasan sensitif di beberapa negeri.
Tegasnya, semua pihak mengetahui batas dan peraturan yang ditetapkan undang-undang.
“Islam agama Persekutuan dan majoriti rakyat beragama Islam. Tetapi tidak harus ada penghinaan terhadap amalan masyarakat lain. Begitu juga masyarakat bukan Islam, perlu memahami dan menghormati kedudukan Islam dalam Perlembagaan,” ujarnya.
Menurut beliau, Malaysia adalah sebuah negara yang berlandaskan undang-undang.
Beliau juga menegaskan semangat hormat-menghormati yang menjadi paksi kehidupan rakyat sejak ratusan tahun perlu terus dipertahankan demi kestabilan negara.- KOSMO! ONLINE














